Monday, 23 January 2012

tak rasa pergerakan baby


Soalan:
ISTERI saya kini hamil 23 minggu. Selepas imbasan,doktor mendapati jantina anak saya perempuan. Persoalannya, mengapa isteri saya belum berasa pergerakannya sedangkan sewaktu imbasan, kami dapat melihat pergerakannya dengan jelas. Doktor juga mengatakan anak saya sihat.NICKZI,
Kuala lumpur.

Jawapan:

PADA usia kehamilan 23 minggu, isteri anda sepatutnya sudah mula berasa pergerakan janin dalam kandungannya.Pergerakan janin mula dirasai seawal usia 20 minggu kehamilan bagi kehamilan pertama, malah lebih awal lagi sekitar usia 18 minggu bagi ibu yang hamil kali kedua dan seterusnya.
Pergerakan ini mulanya dirasai sebagai pantulan saja memandangkan saiz janin yang masih kecil dan melantun dalam ruang rahim yang dipenuhi cecair ketuban, pergerakan ini dirasai sekali sekala saja.Kemudian, pergerakan anggota janin (kaki dan tangan) pula dapat dirasai dengan lebih kerap sekurang-kurangnya sekali dalam 40 hingga 60 minit, terutama pada waktu senja atau awal malam.
Pergerakan janin pula dapat dilihat seawal usia tujuh minggu lagi, apatah lagi pada usia 23 minggu. Imbasan ultrabunyi pada waktu ini dapat menunjukkan imej janin dengan jelas.Malah, lebih awal lagi, ultrabunyi lanjutan (detailed ultrasound) juga sebaiknya dilakukan sekitar usia kandungan 18 hingga 22 minggu untuk melihat sifat fizikal janin termasuk ketidaknormalan organ dalamannya (seperti jantung, buah pinggang dan hati) serta jantinanya.
Selain itu, doktor juga kebiasaannya mengukur pertumbuhan bahagian kepala, abdomen dan tulang paha serta dipantau melalui carta pembesaran bahagian terbabit.Kandungan air ketuban dan keadaan uri juga dilihat. Semuanya ini dilakukan sebelum doktor mengatakan janin anda sihat.
Namun, pasangan haruslah faham ultrabunyi hanya membantu saja, imej yang dipamerkan juga bersifat bayangan dan terhad kepada organ fizikal saja, ia tidak dapat menilai fungsi kebanyakan organ berkenaan.
Sekiranya isteri masih tidak berasa pergerakan anak, kepastian tarikh haid akhir atau usia sebenar janin serta masalah berkaitan seperti air ketuban terlalu banyak perlu diselidiki.

p/s : Alhamdulillah , bea seawal 19 minggu da rasa pergerakan baby walaupun 1 kali je terasa dalam sehari.. kini usia kandungan da 21 minggu , baby semakin aktif bergerak & tak terkira berapa kali sehari  :) 

Monday, 2 January 2012

10 tips untuk komunikasi dengan pasangan


Sudah semestinya anda akan berkomunikasi bersama pasangan untuk setiap hari. Komunikasi antara pasangan sudah pasti berbeza berbanding orang lain. Jadi apakah tips atau cara komunikasi terbaik apabila anda bersama pasangan?

1. Sedar bahawa disetiap perselisihan faham yang berlaku, tiada mana-mana pihak yang menang atau kalah. Kemenangan adalah terletak kepada penyelesaian terhadap masalah dan bukannya hujah yang disampaikan untuk mempertahankan diri masing-masing.
2. Kompromi atau dengan bahasa yang lebih mudah mendapatkan persetujuan bersama adalah satu alat penting yang membantu dalam menyelesaikan konflik antara pasangan.
3. Pastikan bahasa tubuh, ekspresi wajah dan nada vokal adalah selaras dengan mesej yang ingin anda sampaikan.
4. Jangan menyampaikan sesuatu isu yang kritikal itu dengan cara berkias. Ia menunjukkan bahawa anda sebenarnya tidak bersedia untuk mengetengahkan perkara tersebut. Sampaikan dengan jelas supaya pasangan anda memahami apa yang anda cuba sampaikan tanpa perasaan curiga.
5. Sekiranya anda tidak mampu untuk mencari jalan penyelesaian yang muktamad untuk sesuatu masalah, cuba akhiri perbualan tersebut sekurang-kurangnya dengan sesuatu perkara yang positif.
6. Jangan sesekali bersikap biadap terhadap pasangan ketika hubungan anda dilanda masalah. Sebaliknya dengar apa yang mereka cuba sampaikan walaupun perkara tersebut tidak masuk akal sekalipun dan sekiranya anda masih tidak bersetuju, tolak dengan cara yang hormat.
7. Pastikan anda mendengar apa yang pasangan anda cuba sampaikan dengan baik dan berikan maklumbalas yang sepatutnya.
8. Sekiranya perbincangan telah berubah menjadi suatu pertengkaran yang sengit, adalah lebih baik anda mencari jalan untuk menangguhkannya. Masing-masing memerlukan masa untuk menstabilkan kembali emosi yang terganggu supaya dapat membuat pertimbangan yang lebih baik.
9. Fokuskan perbincangan terhadap masalah yang sedang berlaku dan bukannya cuba mengaitkan kesalahan yang lampau.
10. Melibatkan orang tengah mungkin suatu perkara yang tidak baik dalam sesuatu hubungan. Tetapi sekiranya anda berdua menemui jalan buntu, cara ini mungkin akan berhasil.

p/s : sedangkan lidah lagi tergigit , ini kan pula suami isteri :)